Sharing : Ketua Pediatrik HKL: Derma susu ibu ikut syarak

ANITA ABU HASSAN, SUHARNE ZAINUDIN & FARAH ZAMIRA FARUSH KHAN
January 23, 2012



KUALA LUMPUR - Program pendermaan susu ibu yang mengikut tuntutan syarak dijangka akan mula dilaksanakan di hospital-hospital kerajaan di negara ini tahun ini, kata Ketua Jabatan Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Hussain Imam Muhammad Ismail.
Beliau berkata,rancangan mewujudkan program itu telah diluluskan Kementerian Kesihatan selepas perbincangan antara pakar-pakar pediatrik seluruh negara.
 
“Semua pakar bersetuju melaksanakan program ini secara rasmi me­ngikut mekanisme ditetapkan. Ianya kini berada di peringkat akhir sebelum pelaksanaan,” katanya kepada  Sinar Harian.

Pakar kanak-kanak itu berkata, susu ibu adalah nutrien yang amat penting terutama bagi pembesaran bayi pra-matang jadi program derma susu itu akan memberi manfaat besar kepada bayi yang memerlukan.
 
Dr Hussain berkata, program derma susu ibu ini akan dijalankan mengikut hukum syarak bagi me­ngelakkan berlaku masalah dari segi nasab dan keturunan.
 
Menjelaskan lebih lanjut mengenai proses pendermaan di bawah program itu, Dr Hussain berkata, pihak hospital akan membuat pengumuman di wad-wad bersalin jika terdapat ibu yang mempunyai lebihan susu untuk didermakan, dan akan mengenal pasti ibu yang memerlukan bekalan susu.
 
Beliau berkata, wanita penderma akan dipastikan bebas penyakit seperti Hepatitis B, C dan tidak merokok selain beberapa syarat penting lain.
 
“Selepas mengenal pasti penderma dan penerima, kami akan me­ngambil stok susu, menyaringnya untuk memastikan ia bebas daripada penyakit sebelum dipasteurkan di dapur susu yang terdapat di hospital.
 
“Kemudian, penderma dan ibu penerima akan diminta menandatangani borang persetujuan untuk menderma dan menerima susu secara sukarela (seperti dikehendaki sya­rak),” katanya.
 
Dr Hussain berkata, wanita yang menderma dan menerima susu juga akan melalui sesi kaunseling mengenai hukum hubungan keluarga susuan dan larangan berkahwin.
 
Beliau berkata, tiada had terhadap jumlah anak susuan yang boleh diambil oleh seorang wanita penderma.
 
“Bagi mengelakkan masalah perkahwinan pada masa depan, wanita yang mempunyai ramai, atau hanya anak perempuan digalakkan menderma susu kepada bayi perempuan sahaja,” katanya.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.


Source : www.sinarharian.com.my

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...